SHAH ALAM – Kes kecurian kabel terutama melibatkan lampu jalan merekodkan peningkatan ketara dengan kerugian mencecah puluhan juta ringgit di Selangor tahun lalu.
Kegiatan itu membabitkan kabel aluminium di lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim berkata, nilai aluminium yang tinggi di pasaran dipercayai antara faktor utama peningkatan kes kecurian itu berbanding kabel berasaskan tembaga sebelum ini.
Katanya, ia memberi kesan besar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kita mendapati kes kecurian meningkat dengan jumlah kerugian tinggi. TNB rugi lebih RM30 juta manakala JKR pula termasuk kes terbaharu di Sepang menanggung kerugian jutaan ringgit,” katanya pada majlis penyerahan jentera kepada JKR negeri di sini, hari ini.
Izham bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik jumlah kes tersebut, setakat ini.- KOSMO! ONLINE














