PETALING JAYA – Ramai rakyat merayu Kerajaan Madani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempertimbang peluasan barangan keperluan asas seperti ayam, daging, sayur dan buah-buahan segar dimasukkan dalam program Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Mereka berpandangan, langkah itu penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat menyeluruh kepada golongan berpendapatan rendah dalam menampung kos makanan harian yang semakin meningkat.
Menerusi komen yang ditinggalkan di Facebook Anwar, rata-rata mereka berpendapat keperluan asas rakyat bukan sahaja tertumpu kepada barangan kering, malah sumber protein dan makanan segar yang memainkan peranan penting dalam pemakanan seimbang seisi keluarga.
“Terima kasih atas tambahan barangan sejuk beku, tapi jika boleh ramai masih berharap agar ia diperluaskan kepada barangan basah seperti ayam, sayur-sayuran, daging, ikan yang merupakan antara barangan yang kerap dibeli oleh isi rumah, namun harganya sering berubah.
“(Keadaan) Ini memberi tekanan kepada perbelanjaan bulanan penerima bantuan,” kata seorang pengguna Facebook.
“(Produk) Sejuk beku makanan tidak sihat Datuk Seri (Anwar), sepatutnya tukar kepada sayur atau lauk (untuk) didik rakyat Malaysia makan ‘real food’. Cuma cadangan,” kata pengguna lain.
“(Bantuan) Sara dapat beli sayur segar, daging, buah-buahan. Itu lebih penting (diperlukan) setiap hari,” kata seorang lagi pengguna.
“Ramai berharap barang basah boleh tebus (Sara). Insya-Allah (pada) masa mendatang,” balas Ahmad Izuddin.
“Jika Sara dapat diperluaskan kepada pembelian barangan segar, ia bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah membantu meningkatkan kualiti pemakanan rakyat,” ujar Muhaimin.
Terdahulu, kerajaan bersetuju memperluaskan kategori barangan Sara merangkumi makanan sejuk beku dengan jumlah kedai runcit kecil ditingkatkan kepada 10,000 buah menjelang hujung tahun ini.
Bermula hari ini sehingga 31 Disember 2026, kira-kira 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menerima bantuan Sara RM100 melalui MyKad. – KOSMO! ONLINE














