fbpx
Gambar hiasan

Plus tingkatkan Smart Lane kepada 32 lokasi sempena Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Plus Malaysia Berhad meningkatkan jumlah Smart Lane kepada 32 lokasi di Lebuh Raya Utara-Selatan bagi melancarkan aliran trafik sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang dijangka menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan sehingga 2.2 juta sehari.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha utama syarikat dalam menangani kesesakan trafik ketika tempoh puncak perayaan.

Menurutnya, kesemua 32 lokasi Smart Lane tersebut melibatkan jajaran dari utara hingga ke selatan lebuh raya, khususnya di kawasan yang sering merekodkan trafik tinggi.

“Bagi musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini, Plus telah meningkatkan Smart Lane kepada 32 lokasi, berbanding sebelum ini. Daripada jumlah itu, 19 lokasi di Wilayah Tengah, lima di Wilayah Utara dan lapan di Wilayah Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Jelajah Media ke Wilayah Tengah Lebuh Raya Plus di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, di sini hari ini.

Nik Airina berkata, Smart Lane dibuka bagi membantu melegakan aliran trafik dan bukan untuk pemanduan laju kerana laluan tersebut menggunakan bahu jalan.

“Smart Lane ini untuk melancarkan pergerakan kenderaan, bukan untuk memandu seperti lorong biasa. Pengguna perlu memandu secara berhemah kerana laluan ini lebih sempit dan berhampiran lorong kecemasan,” katanya.

Menurutnya, pengguna boleh mengenal pasti Smart Lane yang sedang beroperasi melalui lampu hijau berkelip serta papan tanda yang dipasang sebelum, di sepanjang dan selepas kawasan Smart Lane.

Tambahnya, pembukaan Smart Lane mampu meningkatkan kapasiti jalan sehingga kira-kira 25 hingga 30 peratus bergantung kepada lokasi dan tahap kesesakan.

“Walaupun kapasiti bertambah, pengguna perlu memahami Smart Lane berada di bahu jalan, justeru kelajuan perlu dikawal bagi memastikan keselamatan,” katanya.

Katanya, penggunaan Smart Lane terbukti selamat dengan penurunan kadar kemalangan seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya di Parlimen sebelum ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI