PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengembalikan empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan yang dimohon oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam prosiding pendengaran hari ini, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, memutuskan untuk tidak menjawab persoalan berkenaan pada peringkat ini.
Abu Bakar berkata sekiranya apa-apa keputusan di mahkamah tertinggi negara tidak memihak kepada pemohon, ia akan terikat dengan keputusan yang sedia ada.
“Namun jika persoalan undang-undang itu didengar di Mahkamah Tinggi permohon masih berpeluang untuk merayu di dua peringkat iaitu di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan,” kata Hakim Abu Bakar yang menangguhkan prosiding selama 20 minit bagi memberi peluang pihak-pihak membincangkan mengenai permohonan itu.
Sementara itu sebelum panel memutuskan demikian, peguam Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan kepada mahkamah bahawa selepas berbincang dengan anak guam, pembelaan berpendirian terdapat isu yang boleh didengar dan diputuskan.
Bagaimanapun Amer Hamzah berkata, pihaknya bersetuju sekiranya persoalan berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan diputuskan semasa perbicaraan.
Semasa prosiding pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd Saad, Datuk Ahmad Sazali Omar dan Nadia Mohd Izhar.
Empat lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.
Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhyiddin untuk merujuk empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati Muhyiddin selaku pemohon telah memenuhi semua ujian seperti yang dikehendaki undang-undang, yang dinyatakan dalam kes Wee Choo Keong v. Lee Chong Meng yang diputuskan mahkamah sebelum ini di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Berdasarkan dapatan Mahkamah Tinggi ketika itu, persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk mempunyai kaitan langsung dengan perkara yang dipertikaikan dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberi kesan kepada penyelesaian perkara yang dipertikaikan dengan pantas.
“Persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk adalah sukar dan ia perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk penyelesaian,” kata Muhammad Jamil sambil menambah bantahan pihak responden juga tidak mempunyai merit.
Justeru Mahkamah Tinggi memerintahkan prosiding kes hasutan di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu permohonan berhubung persoalan undang-undang diputuskan di Mahkamah Persekutuan.
Antara persoalan yang dipertikai adalah sama ada Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 3(3) akta sama terjumlah kepada suatu sekatan yang tidak munasabah dan bercanggah Fasal 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, dan sama ada Seksyen 3(2) akta serupa yang dibaca bersama Seksyen 3(3) akta sama adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah hak tertuduh mendapatkan perbicaraan yang adil.
Terdahulu pada 4 Februari tahun lepas, Muhyiddin, 78, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara puku10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.
Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024, sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














