KAJANG – Seorang lelaki bertindak memukul dan mengugut seorang pesara sehingga cedera apabila mendakwa mangsa cuba melarikan diri susulan kemalangan berhampiran lampu isyarat Pekan Suntex, Batu 9, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun kira-kira pukul 4.49 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kemalangan kecil melibatkan kenderaan pengadu dan juga suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, suspek yang merupakan peniaga berusia 52 tahun telah ditahan pada pukul 11.30 malam di kawasan Kajang dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Sjn R. Ganesan di talian 0126089180 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang lelaki bertindak kasar selain menendang dan memukul seorang lelaki warga emas yang berada di dalam kenderaan.
Lelaki itu mendakwa, individu itu yang memandu kereta Proton Wira cuba melarikan diri selepas melanggar kenderaannya. – KOSMO! ONLINE














