fbpx
Gambar hiasan

Peniaga didakwa bersubahat rasuah pegawai JPN urus sijil kelahiran palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima tuduhan memberi suapan berjumlah RM32,000 kepada penjawat awam bagi membantu urusan permohonan sijil kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Tertuduh, Yap Foo Siong, 58, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Foo Siong didakwa bersubahat bersama seorang lelaki dengan memberi suapan kepada pembantu pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya sebagai upah bagi membantu permohonan sijil kelahiran menggunakan dokumen daftar kelahiran JPN dan surat pengesahan bersalin.

Kesalahan itu dilakukan di beberapa blok bangunan di Jalan Tun Abdul Razak dan sebuah restoran di Putrajaya pada 30 Mei dan 21 September 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 17(b) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri menawarkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan berserta syarat lapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai

Peguam bela, P. Vitiya Monisha yang mewakili Foo Siong merayu agar anak guamnya diikat jamin RM5,000 hingga RM6,000 dengan alasan menanggung keluarga dengan bekerja sebagai peniaga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon. Kes ditetapkan semula untuk serahan dokumen pada 16 Mac ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI