fbpx
Paramaguru dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang untuk proses pertuduhan hari ini.

Pengerusi kuil mengaku tidak salah ceroboh tanah persendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Seorang pengerusi kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh tanah persendirian di Jalan Dredging Selangor, Dengkil pada Jun tahun lalu.

Tertuduh, M. Paramaguru, 49, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menceroboh masuk tanah persendirian milik Datuk Suhaili Ahmad pada 19 Jun tahun lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam, H. Darshela.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, namun Darshela memohon supaya jumlah itu dikurangkan berikutan anak guamnya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Darshela berkata, anak guamnya perlu menyara keluarga dan memiliki anak berusia enam tahun dan 11 bulan selain tiada rekod jenayah. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, lelaki itu ditahan di rumahnya di Dengkil kira-kira pukul 3.30 petang semalam. Sebelum ini, Suhaili yang merupakan pemilik tanah di Jalan Selangor Dredging yang menempatkan kuil itu menegaskan akan merobohkan binaan tersebut hari ini.

Bagaimanapun, hasrat merobohkan binaan kuil yang didakwa berusia lebih 60 tahun itu ditangguhkan atas nasihat pihak berkuasa dan dilakukan pada tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN