CORTINA – Legenda ski Amerika Syarikat (AS), Lindsey Vonn patah kaki kiri selepas terlibat dalam kemalangan ngeri pada acara downhill wanita di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milan-Cortina, Itali awal pagi tadi.
Insiden tersebut menjadi penamat tragis kepada karier luar biasa pelumba berusia 41 tahun itu yang sebelum ini nekad untuk bertanding walaupun baru sahaja mengalami kecederaan lutut serius anterior cruciate ligament (ACL) sembilan hari lalu.
Vonn dilaporkan hilang imbangan hanya 19 saat ketika melakukan lompatan pertama, sekali gus memusnahkan impiannya untuk menamatkan penampilan Olimpik dengan keputusan cemerlang.
Vonn terpaksa dirawat selama beberapa minit sebelum diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Ca Foncello di Treviso, kira-kira 130 kilometer dari lokasi pertandingan di pergunungan Dolomites.

“Vonn akan menjalani pembedahan bagi menstabilkan keretakan pada kaki kirinya” kata pihak hospital dalam satu kenyataan.
Di sebalik duka yang menimpa Vonn, kem AS tetap berbangga apabila rakan sepasukannya, Breezy Johnson berjaya merangkul pingat emas Olimpik dengan catatan masa 1 minit 36.10 saat.
Johnson, 30, dilihat menutup muka dengan tangannya ketika melihat rakaman kemalangan Vonn di skrin besar sebaik sahaja menamatkan pusingannya.
“Ini adalah sukan yang sangat mencabar dan kejam tetapi itulah keindahan serta kegilaan di sebaliknya. Ia boleh mencederakan anda dengan teruk, tetapi anda tetap akan kembali untuk mencuba lagi,” kata Johnson.
Vonn yang memenangi 84 gelaran Piala Dunia, sebelum ini mencuri tumpuan dunia apabila membuat kejutan keluar daripada persaraan pada 2024 selepas menjalani pembedahan lutut kanan. – AGENSI









