PETALING JAYA – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman mengadakan lawatan kebajikan ke atas bekas anggota Rejimen Ke-11 Gerak Khas, Sarjan (Bersara) Mohd. Azuan Asmuni yang diuji penyakit kanser di Kajang, semalam.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan di Facebook berkata, lawatan itu turut disertai Pengarah Gerak Khas, Kolonel Mohd. Rizal Mohd. Zambran sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral pucuk pimpinan terhadap pesara tentera.
Katanya, Mohd. Azuan berkhidmat bersama Rejimen Ke-11 Gerak Khas sejak Jun 2004 dan menamatkan perkhidmatannya pada Jun 2025 selepas 21 tahun bersama pasukan tersebut.
“Sepanjang tempoh tersebut, beliau dikenali sebagai anggota yang berdisiplin tinggi, cemerlang dalam latihan serta operasi, selain aktif dalam bidang sukan lasak termasuk triathlon.
“Ujian besar bermula pada September 2023 apabila pemeriksaan darah oleh Pegawai Perubatan Rumah Sakit Angkatan Tentera Kem Sungai Udang mendapati bacaan darah Mohd. Azuan tidak stabil.
“Pemeriksaan lanjut di Hospital Besar Melaka mengesahkan lelaki itu menghidap penyakit leukemia,” katanya.
Sejak itu, Mohd. Azuan menjalani beberapa siri rawatan kemoterapi di Hospital Ampang sebelum melalui pemindahan sel stem alogenik pada Januari 2024. Proses rawatan intensif itu turut melibatkan pengorbanan besar ahli keluarga apabila kakaknya tampil sebagai penderma.
“Walaupun rawatan awal menunjukkan perkembangan positif, beliau mengalami beberapa komplikasi serius termasuk pendarahan dan kesakitan dalaman, menyebabkan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjutan berulang kali.
“Sehingga kini, beliau masih meneruskan rawatan susulan di bawah jagaan rapi keluarga,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














