fbpx

‘Orang seperti kita sudah terlalu biasa berkorban sejak zaman kanak-kanak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi Mimi Fly mengakui proses mendahulukan diri sendiri bukan perkara mudah, terutama buat individu yang sejak kecil terbiasa berkorban demi orang lain sehingga sering mengetepikan keperluan peribadi.

Ujar Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 39, ramai tidak sedar mereka sebenarnya terlalu lama mengalah hingga lupa bertanya apa yang benar-benar diinginkan dalam hidup.

“Faham sangat perasaan mahu dahulukan orang lain dulu itu, terutama untuk orang seperti kita yang sudah biasa berkorban sejak zaman kanak-kanak.

“Kita perlu mula memberi tumpuan kepada apa yang kita mahukan. Langkah pertama, saya catat dulu semua perkara yang saya inginkan walaupun perkara itu terasa sukar kerana saya tidak biasa bertanya kepada diri sendiri,” katanya dalam Threads.

Tambah pelantun lagu Angkat itu, selepas mengenal pasti keinginan tersebut, seseorang perlu berani memilih satu perkara untuk diperjuangkan secara serius tanpa rasa bersalah.

“Pilih satu kemahuan dan usahakan sampai tercapai. Lepas itu, ulang langkah sama. Perlahan-lahan, kita akan belajar menghargai diri sendiri.

“Semoga perkongsian ini memberi manfaat,” ujarnya.

Mimi berkongsi pandangan tersebut susulan pertanyaan terbuka seorang netizen mengenai cara mendahulukan diri sendiri dalam rutin harian tanpa rasa ego atau bersalah.

Perkongsian jujur itu mengundang reaksi meluas dalam kalangan netizen yang rata-ratanya berasa dekat dengan luahan penyanyi berkenaan.

“Saya rasa macam Mimi sedang bercakap untuk diri saya sendiri. Terima kasih sebab bersuara,” tulis seorang netizen.

“Kadang-kadang kita lupa diri sendiri sebab terlalu fikirkan orang lain. Perkongsian ini buat saya tersedar,” komen pengguna media sosial.

“Bukan mudah belajar sayang diri, tapi kata-kata ini beri kekuatan,” luah seorang lagi netizen.

Ada juga netizen mengakui mereka masih bergelut untuk meletakkan diri sebagai keutamaan, namun perlu ada langkah kecil yang memberi keberanian untuk berubah dan memulakan perjalanan penyembuhan diri. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI