KEMUNCULAN ikonik penyanyi dan rapper Latin kelahiran Puerto Rico Bad Bunny di persembahan Halftime Super Bowl LX membuatkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak senang duduk.
Trump, 80, menyifatkan persembahan berdurasi sekitar 15 minit itu tidak melambangkan semangat rakyat AS dan dan langsung tidak menepati piawaian. Bahkan, Trump tidak memahami persembahan yang kebanyakan dinyanyikan dalam bahasa Sepanyol.
“Antara yang paling teruk pernah ada! Langsung tidak masuk akal, merupakan satu penghinaan terhadap kehebatan Amerika, dan sama sekali tidak mewakili standard kejayaan, kreativiti atau kecemerlangan kami.
“Tiada siapa pun faham sepatah haram apa yang lelaki ini cakap, dan tarian itu pula menjijikkan — lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak kecil yang menonton di seluruh AS dan di seluruh dunia,” demikian kata Trump menerusi laman sosial, Truth.
Jelas Trump lagi, persembahan Bad Bunny atau nama sebenarnya, Benito Antonio Martínez Ocasio, 32, itu merupakan satu tamparan hebat buat negara AS.
“Persembahan ini hanyalah satu ‘tamparan di muka’ kepada negara kami, yang sedang mencipta standard dan rekod baharu setiap hari.
“Tiada langsung unsur inspirasi dalam kekacauan persembahan halftime (separuh masa) ini dan, anda lihat sahaja, ia akan mendapat ulasan hebat daripada media berita palsu, kerana mereka langsung tidak faham apa yang sebenarnya sedang berlaku di dunia sebenar,” katanya.
Persembahan Halftime Super Bowl merupakan pentas hiburan terbesar bukan sahaja di AS, bahkan di peringkat dunia. Selain sukan bola sepak Amerika, acara muzik tahunan itu sering menarik lebih daripada 100 juta penonton dan sering melebihi jumlah penonton untuk perlawanan itu sendiri.
Pada persembahan Halftime Super Bowl LX, Bad Bunny yang merupakan penghibur paling laris dunia ketika ini, mendendangkan lagu dalam bahasa Sepanyol merangkumi diskografi popularnya termasuklah DeBí Tirar Más Fotos yang diangkat sebagai Album Terbaik Anugerah Grammy baru-baru ini.
Persembahan separuh masa Super Bowl oleh Bad Bunny merupakan sebuah penghormatan yang kaya dengan unsur budaya dan penuh tenaga kepada akar umbi Puerto Riconya — dengan visual dan muzik yang meraikan budaya Latin, menampilkan lagu-lagu hit seperti Tití Me Preguntó, serta kemunculan istimewa daripada Lady Gaga dan Ricky Martin. – KOSMO! ONLINE
@mrfamouspumpkin Full Bad Bunny SuperBowl Halftime Show #superbowl2026 #halftimeshow2026 #badbunny #fypシ゚viral ♬ original sound – Pumpkin • Friends














