KUALA SELANGOR – Seorang pemuda menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang membuat pusingan U di Kilometer 68 Jalan Klang–Teluk Intan di sini, malam tadi.
Kemalangan kira-kira pukul 8.15 malam mengakibatkan mangsa berusia 21 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa menunggang Yamaha Y15ZR.
“Kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta Proton Saga melakukan pergerakan pusingan U untuk memasuki simpang.
“Motosikal mangsa dari arah belakang kemudian melanggar pintu depan kiri kereta itu dan maut di lokasi berkenaan,” katanya hari ini.
Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














