fbpx
Gambar hiasan

Lima sekeluarga diikat, barang kemas lebih RM100,000 dilarikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Lima sekeluarga melalui detik cemas apabila disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan kayu yang memecah masuk kediaman mereka di Kampung Air Resam, Durian Tunggal, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 hingga 9 malam itu, dua daripada ahli keluarga turut mengalami kecederaan apabila ditendang dan dipukul menggunakan parang oleh suspek yang cuba mendapatkan simpanan barang kemas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, rumah tersebut didiami lima sekeluarga berusia antara 23 hingga 73 tahun, termasuk seorang wanita orang kurang upaya (OKU) fizikal kaki serta tangan.

Katanya, kejadian berlaku ketika salah seorang mangsa lelaki berusia 50 tahun sedang membungkus jualan susu segar sebelum tiba-tiba lima suspek meluru masuk melalui pintu belakang rumah.

“Isteri mangsa berusia 45 tahun yang melihat kejadian itu terus menjerit menuju ke hadapan, namun berjaya dihalang suspek, manakala suaminya diikat tangan dan matanya sebelum di bawa ke bilik belakang.

“Suspek memaksa lelaki tersebut memberitahu keberadaan barang kemas dan memukul bahagian bahu serta perutnya menggunakan parang sehingga mengalami kesan torehan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, pasangan suami isteri itu kemudiannya dibawa ke ruang tamu dan suspek merampas barang kemas yang dipakai oleh mangsa.

Ujarnya lagi, suspek kemudian telah masuk ke dalam bilik ibu kepada wanita terbabit berusia 73 tahun dan mengacukan parang ke tubuh warga emas itu sebelum mengambil rantai leher dan anting-anting mangsa.

“Anak lelaki pasangan itu yang berusia 23 tahun turut ditangkap dan ditendang di bahagian perut, kesemua mangsa diikat menggunakan seletop yang dibawa oleh suspek.

“Tiba-tiba datang seorang rider ingin mengambil bekalan susu di hadapan rumah tersebut, menyebabkan kesemua suspek melarikan diri semula ke arah pintu belakang,” katanya.

Ujarnya lagi, ketika berada di ruang tamu mangsa mendengar suspek menghubungi seseorang untuk mengesahkan sama ada terdapat barang kemas lain di rumah tersebut.

Ahmad berkata, keluarga berkenaan mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM130,000 membabitkan pelbagai barangan kemas termasuk lapan set thali emas, 10 rantai leher anggaran berat 185 gram, rantai tangan dan jongkong perak 500 gram.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata berbahaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN