KUANTAN – Kadar zakat fitrah di Pahang tahun ini meningkat kepada RM8 seorang berbanding RM7 pada tahun lalu, selaras dengan perkembangan semasa dan kos sara hidup rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, penetapan kadar baharu itu dibuat hasil kajian terperinci yang dijalankan di pasar raya terpilih di seluruh negeri ini, khususnya melibatkan trend pembelian beras oleh penduduk Pahang.
“Kajian mendapati majoriti umat Islam di negeri ini menggunakan beras putih tempatan standard sebagai makanan harian, sekali gus menjadi asas kepada penetapan kadar minimum zakat fitrah.
“Penetapan kadar zakat fitrah RM8 ini dibuat berdasarkan kajian lapangan yang dilaksanakan pihak Muip di pasar raya, mengambil kira harga dan corak pembelian beras oleh masyarakat, khususnya beras tempatan standard yang menjadi pilihan utama rakyat Pahang,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kenaikan kadar itu juga mengambil kira perubahan harga pasaran semasa serta keperluan memastikan golongan asnaf menerima manfaat zakat secara lebih berkesan dan mencukupi.
Tambahnya, selain kadar minimum RM8 bagi pengguna beras putih tempatan, Muip turut menetapkan kadar zakat fitrah RM14 bagi pengguna beras import atau yang setara, manakala RM21 bagi pengguna beras basmati atau yang setaraf.
Beliau memberitahu, langkah pelarasan kadar tersebut dibuat secara berhemah dan tidak membebankan, sebaliknya bertujuan memastikan kewajipan zakat fitrah dapat dilaksanakan selari dengan realiti ekonomi semasa.-KOSMO! ONLINE














