KAJANG – Seorang guru tuisyen wanita maut selepas disyaki terjatuh dari tingkat 17 sebuah sebuah kondominium di kawasan Bandar Tun Hussein Onn, di sini semalam.
Difahamkan, mangsa berusia 24 tahun tinggal bersama keluarga dan dipercayai mempunyai masalah peribadi sebelum ditemui dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 3.05 petang berhubung kejadian.
“Bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah kecederaan pelbagai akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Raqib Abu Bakar di talian 0178806636 bagi membantu siasatan.
Justeru, polis menasihatkan masyarakat yang mempunyai masalah peribadi dan memerlukan bantuan untuk menghubungi talian Kasih 15999 atau berjumpa kaunselor yang bertauliah. – KOSMO! ONLINE














