fbpx
FERNANDES dipilih pemain terbaik perlawanan selepas meledak satu gol menewaskan Spurs kelmarin. - MAN. UNITED

EPL: United makin tunjuk aura kelab elit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANCHESTER – Kapten Manchester United, Bruno Fernandes mula bersuara dan melabel pengurus pasukan, Michael Carrick berjaya menghadirkan ‘faktor X’ buat pasukan yang kini berada di landasan lebih baik.

Luahan itu dizahirkan selepas The Red Devils mengesahkan kemenangan keempat berturut-turut di bawah kendalian Carrick dengan menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford kelmarin.

Fernandes menjelaskan, Carrick hadir dengan idea lebih segar dalam memberikan tanggungjawab kepada pemain-pemain yang diberi kebebasan ketika berada dalam padang.

“Cukup bagus dan saya pasti dia akan menjadi pengurus yang hebat seperti ditunjukkannya. Kami harap kami mampu membantunya jadi lebih baik.

“Semua orang faham tekanan untuk bermain dengan kelab ini dan dia (Carrick) juga tahu makna sebenar untuk meraih kemenangan. Ia menambah sesuatu yang cukup istimewa buat pasukan,” katanya.

Rekod 100 peratus diraih Carrick mengukuhkan reputasinya yang kini mula dicanang sebagai individu tepat untuk diberikan tanggungjawab secara tetap di Old Trafford.

Prestasi cemerlang itu turut menyaksikan United kini semakin hampir untuk menamatkan saingan musim ini dalam kelompok empat terbaik apabila mengukuhkan kedudukan di tempat keempat dengan satu mata ke atas Chelsea di tangga kelima.

Menariknya, United hanya ketinggalan tiga mata lagi dengan pasukan di tempat kedua dan ketiga, Manchester City serta Aston Villa yang masing-masing berkongsi 47 mata.

“Jaringan pertama cukup penting untuk beri galakan kepada pemain menyerlahkan corak menyerang. Hubungan semua orang dalam kelab cukup hebat dan adalah sesuatu yang hebat untuk melihat suasana di stadium seperti ini,” kata Carrick.

Sebagai rekod, dua gol United dijaringkan oleh Bryan Mbeumo dan Fernandes, manakala Spurs terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Cristian Romero dilayangkan kad merah pada minit ke-29. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN