LONDON – Arsenal terus berada di landasan tepat memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sunderland di Stadium Emirates kelmarin.
Ia sekali gus melebarkan jurang di puncak liga kepada sembilan mata dan menambah tekanan terhadap pencabar terdekat, Manchester City.
Meskipun tidak mempamerkan aksi memukau, pendekatan disiplin diterapkan anak buah Mikel Arteta sudah memadai untuk mematikan cabaran Sunderland yang kerap melakukan kesilapan dengan Viktor Gyokeres muncul watak utama menerusi dua gol di babak kedua.
“Kami menentang pasukan yang sangat sukar dan tahu apa yang mereka lakukan. Sangat susah untuk mencipta rentak dan momentum, jadi saya benar-benar gembira dengan persembahan ini,” kata Arteta.
Gol pembukaan Arsenal hadir sebelum rehat hasil kesilapan pertahanan Sunderland apabila Martin Zubimendi dibiarkan tanpa kawalan sebelum melepaskan rembatan untuk memberikan kelebihan penting kepada tuan rumah.
Tekanan berterusan Arsenal akhirnya membuahkan hasil pada pertengahan babak kedua, kali ini menerusi Gyokeres yang pantas menyambar hantaran lintang Kai Havertz selepas satu lagi kecuaian pemain Sunderland ketika membina serangan dari bawah.
Arsenal kemudian menutup perlawanan dengan gol ketiga, juga jaringan Gyokeres, selepas satu kesilapan di bahagian tengah membuka ruang buat Gabriel Martinelli melakukan larian sebelum mencipta peluang mudah buat rakan sepasukan.
Secara keseluruhan, Gyokeres kini semakin mula menambat hati para penyokong Arsenal apabila sudah menjaringkan 13 gol dalam semua kejohanan musim ini. – AGENSI














