fbpx
Tangkap layar dua remaja yang melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di Jalan Tun Razak 30 Januari lalu.

Dua remaja ‘wheelie’ motosikal, seret kepala ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua remaja yang dikesan melakukan aksi berbahaya ketika menunggang dan membonceng sebuah motosikal di Jalan Tun Razak, di sini, pada 30 Januari lalu mengundang padah apabila ditahan polis, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, perkara itu dikesan susulan video tular berdurasi 14 saat di media sosial.

“Video tersebut dimuat naik di Facebook memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal jenis 135LC dan melakukan aksi mengangkat roda hadapan (wheelie).

“Pada masa sama, pembonceng turut melakukan aksi berbahaya dengan menyeretkan kepala di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zamzuri berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur berjaya mengesan dan menahan dua lelaki tempatan yang terlibat.

“Kedua-dua tangkapan dilakukan di kediaman berasingan di sekitar Sungai Buloh, lebih kurang pukul 2 pagi hari ini.

“Tangkapan melibatkan seorang lelaki berusia 18 tahun yang merupakan penunggang, dan seorang lagi lelaki berusia 15 tahun iaitu pembonceng,” jelasnya.

Tambahnya, polis turut merampas sebuah motosikal yang digunakan semasa kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI