TAPAH – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan yang dijangka meningkat sehingga 2.2 juta kenderaan sehari sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan, mendorong Plus Malaysia Berhad (Plus) melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi melancarkan pergerakan trafik serta mengurangkan kesesakan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R).
Pengurus Besar Kanan Operasi Plus Malaysia Berhad, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata antara langkah utama yang diperkenalkan ialah penyediaan 16 tandas kabin kekal di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan bagi menggantikan tandas mudah alih sedia ada.
Menurutnya, tandas kabin tersebut merangkumi dua kategori iaitu kabin bersaiz kecil khas untuk wanita dan kabin bersaiz besar yang menyediakan kemudahan untuk lelaki serta wanita.
“Kabin kecil wanita mempunyai tiga kubikel dan dua sinki, manakala kabin besar menyediakan tiga kubikel wanita, dua kubikel lelaki serta dua unit urin,” katanya pada sidang akhbar sempena Jelajah Media ke Wilayah Tengah Lebuh Raya Plus di R&R Tapah.
Tambahnya, penempatan kabin dibuat berdasarkan analisis data trafik dan tahap kepadatan pengguna di setiap lokasi, khususnya ketika musim perayaan.
Dalam masa sama, Plus turut memisahkan tandas lelaki dan wanita di beberapa plaza tol yang sebelum ini digunakan secara bersama, termasuk penyediaan kemudahan orang kurang upaya.
“Di plaza tol terlibat, tandas lelaki mempunyai lima kubikel termasuk satu OKU, manakala tandas wanita mempunyai tiga kubikel termasuk OKU. Digabungkan dengan kabin baharu, jumlah kubikel wanita di satu-satu lokasi boleh mencecah enam unit,” jelasnya.
Yusuf berkata, Plus amat menggalakkan pengguna lebuh raya memanfaatkan kemudahan di 104 plaza tol di sepanjang laluan sebagai alternatif kepada R&R dan hentian sebelah yang sering sesak.
“Bagi menyuraikan trafik, Plus turut menaik taraf kawasan lay-by berhampiran plaza tol dengan penyediaan kemudahan asas hampir setara R&R.”
“Setiap plaza tol dilengkapi kemudahan asas seperti tandas dan surau. Di beberapa lokasi turut disediakan gerai bergerak serta mesin layan diri bagi kemudahan pengguna,” katanya.
Tambahnya, R&R Tapah kekal sebagai antara destinasi utama dengan 24 gerai perniagaan, lapan lot komersial, 386 petak parkir kenderaan ringan dan 38 petak parkir kenderaan berat, dengan penambahan 30 petak parkir kenderaan ringan sejak tahun lalu.
Tambahnya, R&R Tapah turut dilengkapi stesen pengecas kenderaan elektrik berkuasa 180 watt bagi menyokong peningkatan penggunaan kenderaan elektrik.
Mengulas mengenai unjuran trafik, dia berkata peningkatan dijangka bermula seawal 12 Februari susulan cuti sekolah, sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Februari serta permulaan Ramadan pada 19 Februari.
Bagi memastikan kelancaran trafik, Plus turut menggerakkan 294 anggota Rela yang akan ditempatkan di R&R terpilih termasuk Tapah, Gurun dan kawasan sekitar Seremban. – KOSMO! ONLINE














