SHAH ALAM – Dua asnaf Selangor tidak menyangka rezeki terpijak apabila menerima tajaan menunaikan umrah, sekali gus menjejakkan kaki di Tanah Suci, lewat malam ini.
Farida Shaik Dawood, 50, menganggap jemputan diterima kira-kira dua minggu lalu sebagai satu ‘peluang emas’ selepas menjadi asnaf sejak lapan tahun lalu dan menyara keluarga sebagai pemandu teksi.
Ibu kepada empat orang anak dari Cheras itu berkata, dia pergi bersendirian dengan perasaan bercampur baur antara terharu dan syukur kerana tidak pernah membayangkan bakal terpilih untuk menerima tajaan berkenaan.
“Saya sangat bersyukur. Sebelum ini rasa seperti belum bersedia, tetapi ini saya anggap sebagai panggilan daripada Allah. Ini memang peluang emas yang tidak pernah saya impikan seterusnya memperbaiki diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Farida antara 100 asnaf dan B40 dari seluruh negara akan berangkat ke Tanah Suci kira-kira pukul 5.35 petang ini, menerusi penerbangan Saudi Airlines selepas mendapat tajaan Nur Al-Syifa oleh kumpulan syarikat PSU.
Majlis disempurnakan Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.
Menurut Farida, kesempatan berada di Tanah Suci akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk bermuhasabah selain memohon agar segala kesusahan hidupnya dipermudahkan dan keluar dari kepompong kemiskinan.
“Latar belakang saya penuh cabaran dan dibela bapa saudara sejak bayi kerana keluarga miskin.
“Saya juga pernah melalui kegagalan rumah tangga sebelum ini namun telah berkahwin semula baru-baru ini. Harap saya terus diberikan ketabahan dalam hidup oleh Allah SWT,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima tajaan, Mohd. Tahir Bahanan, 63, dari Kampung Ujung Permatang, Kuala Selangor, berkata dia dimaklumkan mengenai peluang berkenaan Jumaat lalu selepas disenaraikan sebagai asnaf pada 2023.
Bekas siak masjid itu mengakui tidak pernah terlintas akan berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebelum ini.
“Semoga diberikan kekuatan sepanjang menunaikan ibadah umrah. Sudah tentu, saya ingin berziarah di Masjid Nabawi dan makam Rasulullah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat PSU, Mohammad Arrief Mu’mim berkata, tajaan itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan komitmen berterusan dalam menyantuni kebajikan rohani masyarakat.
“Kami percaya kejayaan sesebuah organisasi bukan sahaja diukur melalui pencapaian kewangan tetapi melalui sumbangan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Ini satu usaha kami berkongsi rezeki dan memberi peluang kepada mereka menjadi tetamu Allah, ” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














