KUALA LUMPUR – Beberapa individu yang dipercayai peserta Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) ditahan di hadapan pusat beli belah Sogo di sini, malam ini.
Difahamkan, penahanan dibuat selepas individu terbabit didakwa bertindak secara provokatif ketika didekati pihak berkuasa yang sedang memberikan nasihat.
Sekurang-kurangnya enam individu termasuk penyelaras perhimpunan tersebut turut ditahan dan kesemua mereka dilaporkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi siasatan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya mengesahkan tangkapan dilakukan melibatkan penganjur serta beberapa individu lain.
“Tiada sidang akhbar pada malam ini sebab ada banyak tindakan lagi yang perlu dibuat.
“Saya cuma mahu sahkan tangkapan Zamri Vinoth bersama penama-penama yang lain, namun saya akan rangkumkan makluman berkaitan semua ini dalam sidang akhbar pada esok,” katanya ringkas kepada media malam ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis melarang penganjuran GARAH di kompleks berkenaan bagi mengelak risiko berlaku gangguan ketenteraman dan ancaman keselamatan memandangkan kawasan berkenaan dijangka sesak dengan pengunjung sempena beberapa sambutan perayaan
Fadil dilapor berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh termasuk risikan keselamatan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan. – KOSMO! ONLINE














