fbpx

‘Wanita kena ingat, tiada istilah susah senang bersama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Zarina Anjoulie menyifatkan konsep susah senang bersama pasangan hanyalah naratif indah, namun jarang berlaku dalam kehidupan sebenar khususnya buat golongan wanita.

Ujar Zarina atau nama sebenar Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 38, pengalaman hidup mengajarnya berdikari sejak awal tanpa mengharapkan simpati mana-mana lelaki, apatah lagi ketika berada dalam fasa paling sukar.

“Wanita kena ingat, sebenarnya tak wujud istilah susah senang bersama. Dulu saya susah seorang diri tanpa bantuan sesiapa, cuma dengan anak saya, Martin.

“Kereta dicuri, saya naik teksi untuk urusan pos bersama anak yang baru berusia tiga bulan. Dan ya, masa tu saya langsung tak nampak cantik,” tulisnya dalam Threads.

Tambah pelakon Don Dukun itu, ketika dirinya bergelut membina kehidupan dalam kekurangan, langsung tiada lelaki hadir menawarkan bahu untuk bersandar atau empati.

“Tak ada pun lelaki nak kesian atau lalui susah senang dengan saya. Tapi bila saya sudah ada bajet, jaga penampilan dan kewangan makin stabil, barulah mereka muncul.

“Bila perempuan tak lawa, tak ada apa-apa, masa itulah kita paling tak dipandang. Sedangkan fasa itulah kita sedang bina diri. Jadi kenapa perlu susah senang dengan lelaki?” ujarnya.

Paling penting kata janda satu anak itu, wanita perlu mendahulukan kestabilan diri sebelum memikirkan soal cinta dan hubungan.

“Kalau masih susah, tak perlu bercinta dan menyusahkan orang lain. Susah sendiri dulu, bina hidup.

“Bila masing-masing sudah stabil, barulah fikir tentang hubungan,” ujarnya.

Luahan jujur Zarina itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan sebahagian besar menyokong pandangannya.

“Ini realiti pahit yang ramai tak berani cakap,” komen seorang netizen.

“Wanita memang kena kuat dan berdikari dulu, cinta kemudian,” tulis pengguna lain.

Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat konsep susah senang masih wujud, namun bergantung kepada keikhlasan serta kematangan pasangan masing-masing. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN