PORT DICKSON – Tidak sampai seminggu tular seekor buaya bersaiz besar muncul berhampiran sebuah penginapan pelancongan terkenal, kali ini dua ekor reptilia sama dikesan berenang di Pantai Tanjung Gemok, di sini.
Video berdurasi 23 saat yang tular itu turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika mandi di lokasi tersebut.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri ketika dihubungi berkata, sehingga hari ini pihaknya sudah menerima tiga buah video tular mengenai kehadiran buaya di Port Dickson.
“Aduan pertama berhampiran pusat penginapan pelancongan, manakala yang kedua pula di Monkey Bay. Berdasarkan tinjauan yang pernah dijalankan, buaya di Port Dickson berasal dari sungai Linggi dan buaya ini berkeliaran di sekitar pantai untuk mencari sumber makanan terutama ikan.
“Kesemua aduan telah dipantau dan kita minta orang ramai yang ternampak kelibat buaya di pantai atau laut untuk segera memaklumkan Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














