WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkongsi hantaran mengandungi video memaparkan bekas presiden Barack Obama dan isteri, Michelle Obama sebagai monyet dalam insiden yang mencetuskan kemarahan di seluruh spektrum politik Amerika Syarikat semalam.
White House mulanya menepis ‘kemarahan palsu’ berhubung rakaman video itu yang dikongsi di akaun Truth Social Trump malam kelmarin, namun kemudian menyalahkan hantaran itu atas kesilapan kakitangannya.
Pemimpin-pemimpin Parti Demokrat mengecam Trump sebagai ‘keji’, manakala seorang senator kanan Parti Republikan berkata, klip video itu jelas bersifat perkauman.
Menjelang akhir video berdurasi satu minit itu yang menonjolkan konspirasi sebagai punca kekalahan Trump dalam pilihan raya 2020 kepada Joe Biden, gambar Barack dan Michelle Obama diletakkan pada badan monyet selama kira-kira satu saat.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt pada mulanya memperkecilkan kontroversi itu dengan berkata, imej disiarkan adalah daripada video meme internet. menggambarkan Trump sebagai raja rimba dan pemimpin Demokrat sebagai watak filem The Lion King.
“Sila hentikan kemarahan palsu dan laporkan sesuatu yang benar-benar penting kepada rakyat Amerika,” kata Leavitt dalam satu kenyataan kepada AFP.
Bagaimanapun, hampir 12 jam selepas hantaran itu muncul di akaun Trump, terdapat pengakuan luar biasa daripada pentadbiran beliau yang biasanya enggan mengaku melakukan sebarang kesilapan.
“Seorang kakitangan White House tersilap membuat hantaran itu. Ia telah dipadamkan,” kata pegawai White House kepada AFP.
Setakat ini, belum ada ulasan mengenai kontroversi daripada pasangan Obama. – AFP






