fbpx
Mohd. Zaid (baju hitam biru) dan isterinya menyiram air di pusara arwah anak mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Cheeding, Banting.-FOTO ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!

‘Biasanya dia tidur awal tetapi malam itu agak berlainan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Tiga lambaian terakhir Allahyarham Muhammad Zahir Adha, 3, menjadi kenangan paling menyayat hati kepada Mohd. Zaid Yaakub, 40, selepas anaknya itu ditemukan rentung dalam kebakaran rumah sewa mereka di Kampung Seri Cheeding, Banting, semalam.

Menurut Mohd. Zaid, anak ketiga daripada empat beradik itu kebiasaannya tidur awal, namun malam sebelum tragedi mereka sempat menghabiskan masa lebih dua jam bersama.

“Biasanya, dia tidur seawal pukul 9 malam. Namun, malam sebelum kejadian agak berlainan termasuk meminta saya mendukungnya.

“Malah, arwah sempat melambai tiga kali ke arah saya ketika keluar ke kedai untuk membeli coklat dan roti yang dimintanya kira-kira pukul 1 pagi. Saya tidak sangka itu kali terakhir,” katanya ketika ditemui Kosmo!. Terdahulu, jenazah Muhamad Zahir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Cheeding, Banting di sini, pukul 5 petang semalam.

Bercerita lanjut, hatinya menjadi remuk apabila menerima panggilan telefon daripada isterinya, Nur Liah Asul, 38, mengenai kebakaran itu ketika mahu pulang ke rumah dari sebuah kedai sekitar Jenjarom.

“Sejurus tiba, api dilihat marak memusnahkan rumah kami dan saya cuba masuk namun dihalang jiran kerana faktor keselamatan.

“Kebiasaannya kami lima beranak akan berpuasa di kampung halaman saya di Kota Tinggi, Johor dan makanan berbuka arwah adalah nasi berlauk ayam goreng serta sup,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI