fbpx
DEMI maruah yang tidak boleh dijual beli, aktres Che Puan Sarimah Ibrahim sanggup mengenepikan peluang uji bakat siri popular Wednesday dan Bridgerton. Bukan soal nilai, lebih besar lagi penolakan tersebut memberi makna terhadap penyerahan dan junjungan kepercayaannya sebagai anak seni beragama Islam.

Tepis Wednesday, Bridgerton, tak sanggup jadi hamba seksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HOLLYWOOD di depan mata, namun prinsip tetap di jiwa. Itulah yang dilakukan jelitawan berdarah campur, Che Puan Sarimah Ibrahim.
Dia sanggup kehilangan peluang, menolak peluang keemasan memasuki ‘pintu’ siri fenomena antarabangsa, Wednesday dan Bridgerton hanya disebabkan satu perkara.

Bagi wanita berusia 48 tahun itu, kemasyhuran global bukanlah lesen untuk menggadaikan maruah diri serta batas agama yang menjadi pegangan hidupnya selama ini.”

“Saya mendapat banyak tawaran untuk uji bakat antaranya, siri Wednesday dan Bridgerton. Tetapi saya tidak melakukan uji bakat tersebut

kerana tidak boleh ambil watak yang memerlukan saya berkompromi dengan agama, kepercayaan, nilai budaya dan maruah.

“Kebanyakan watak yang saya dapat menuntut aksi adegan seksi atau yang tidak bersesuaian dengan seorang yang beragama Islam, wanita dan ibu. Saya percaya pasti akan ada watak sesuai pada masa depan,” katanya.

Meski menandatangani kontrak dengan Fiona Cross Management, sebuah agensi bakat yang berpengkalan di London, England pada Februari 2024, karier seninya kini fokus dalam industri seni tempatan.

Menjelang 2026, jadual seninya kembali padat. Di sebalik keselesaan hidup sebagai isteri kepada kerabat diraja Negeri Sembilan, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, Sarimah tidak memilih untuk sekadar berpeluk tubuh.

“Sebenarnya sampai hari ini saya menerima pertanyaan, kenapa hendak kembali berlakon, duduk sahajalah di rumah, berehat dan pergi bercuti atau cari kerja yang lebih mudah.

“Tetapi saya memilih untuk kerja berjam-jam, adakalanya sampai 17 jam sehari. Sebabnya sebelum berkahwin saya adalah seorang anak seni, jadi jiwa dan minat itu tidak boleh dibuang begitu saja.

“Tanpa bekerja dan berlakon, saya rasa sedikit kosong dan bosan. Saya tidak biasa untuk tidak bekerja kerana sudah terbiasa berdikari.

“Cuma dengan status sebagai ibu dan isteri, saya rancang jadual kerja sebaik mungkin supaya ada masa untuk bercuti dan bersama keluarga,” tuturnya.

SELAMA 30 tahun berada dalam dunia glamor, Sarimah bertegas, luarannya mungkin dilihat berbeza, namun dalamannya dia masih Sarimah yang dahulu. Seorang yang sentiasa ceria dan merendah diri.

Kerabat

Sering dianggap sebagai susuk ‘kayangan’ yang eksklusif, Sarimah menegaskan bahawa status kerabat diraja bukanlah jurang yang memisahkan beliau dengan realiti industri. Skeptikal memang wujud tetapi itu bukanlah dirinya. Di hadapan kamera, status saya tetap sama dengan pelakon lain, tiada sebarang layanan istimewa.

“Jika saya ‘kekwat’ (berlagak) pun dari segi kualiti diri sendiri kerana ingin beri yang terbaik ketika bekerja. Apa sahaja yang saya minta adalah untuk memastikan sesebuah karya itu menjadi sukses. Itu sahaja.

“Jika masuk set saya adalah seorang pelakon yang statusnya sama dengan pelakon lain. Tidak pula saya mendapat layanan istimewa, masih sama perlu berpanas dan kerja berjam-jam,” kongsinya.

Ketika ditebak, disebabkan statusnya, adakah beliau meletakkan sebarang syarat untuk terlibat dalam sesebuah naskhah?

Jawab ibu kepada anak kecil, Tunku Sofia Najihah Tunku Nadzimuddin, 7, itu, syaratnya masih sama seperti dahulu iaitu diberi kebebasan menghayati watak.

TIADA syarat atau kekangan daripada suami, Sarimah bebas menentukan haluan kariernya asalkan tidak melanggar batas sebagai isteri, ibu dan wanita Muslim.

“Tidak ada syarat daripada suami kerana beliau sangat menyokong karier seni saya. Suami juga tahu saya pandai menilai apa yang sesuai mengikut karakter,” tuturnya.

Disoal, sukar atau tidak menjadi seorang Sarimah Ibrahim, bintang filem Puteri Impian 2 itu hanya ketawa panjang. “Sebenarnya realiti seorang Sarimah agak berbeza, saya sebagai anak Banjar Irish adalah seorang ibu yang garang, tetapi cukup manja dan romantik dengan suami.

“Saya juga sangat obses dengan gim dan apabila hendak memasuki set penggambaran saya obses dengan watak yang dibawa. Saya akan buat banyak rujukan dan kajian.

“Sebagai kak long (kakak sulung) daripada empat beradik, saya sangat berdisiplin dan sejak dahulu tabiat saya adalah semua perlu sempurna,” ujarnya.

BERGELAR Che Puan dan boleh sahaja hidup bersenang-lenang tanpa perlu berjam-jam bersengkang mata di set penggambaran, Sarimah bagaimanapun tetap memilih untuk terus bekerja sebagai pelakon. Tanpa set atau karakter utuk dihayati jiwanya terasa kosong dan bosan.

Wanita simpanan

Berbicara tentang kerjaya seninya, tahun ini boleh dikatakan tahun paling sibuk buat Sarimah. Selain mengacara program Tumpah Teh With Sarimah dan berlakon dalam dua buah filem iaitu Pewaris Susuk dan Konspirasi, beliau juga terlibat dalam drama bersiri 30 episod berjudul Bila Cinta Menjadi Dosa.

Drama rantaian yang akan ditayangkan menerusi slot Lestary, TV3 bermula 27 Februari tersebut menggandingkan Sarimah dengan Zamarul Hisyam, Maria Farida, Jasmin Hamid, Elizad Sharifuddin, Nelissa Nizam, Alya Iman, Zairi Aziz dan Marc Syahmie.

“Dalam drama ini saya membawakan watak Eva seorang wanita simpanan yang setia menunggu selama 15 tahun dan seorang ibu tunggal.

“Cerita ini agak berbeza dan wataknya sangat kompleks, orang melihat dia jahat tetapi dalam masa sama ada baiknya.

“Jujur, saya agak tertekan kerana sebelum ini watak saya sebagai Qaidah dalam drama Lelaki Itu menjadi fenomena.

“Cuma kita tidak ada sebarang formula untuk menjadikan sesebuah drama itu viral. Apa yang boleh saya lakukan adalah beri lakonan dan penghayatan terbaik sehingga saya sanggup memotong rambut demi penampilan berbeza sebagai Eva,” luahnya,

Pertama kali bekerja dengan pengarah, Shuhaimi Lua menerusi naskhah Bila Cinta Menjadi Dosa, cabaran utama buat Saraimah adalah durasi penggambaran yang begitu panjang.

“Cabaran utama saya adalah kurang masa dengan anak dan perlu membiasakan diri dengan beratus-ratus babak dan lokasi penggambaran pelbagai tempat.

“Ada yang jauh dan dekat,” katanya yang selesa bekerja dengan Shuhaimi Lua.

Menutup bicara, Sarimah menyatakan kesediaannya untuk terus menyumbang bakat selagi diperlukan.

Apabila tiba masanya untuk berundur dari lampu sorot suatu hari nanti, impiannya hanya satu, menyumbang semula ilmu kepada generasi muda sebagai pendidik lakonan.

“Saya akan terus berlakon selagi ada permintaan, selepas itu saya mungkin akan mengajar lakonan dan menjadi seorang pengajar yang menyumbang semula kepada masyarakat serta membantu anak-anak seni yang muda,” jelasnya.

SARIMAH melalui tranformasi watak yang ketara berbeza menerusi drama Bila Cinta Menjadi Dosa arahan Shuhaimi Lua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN