MASA depan penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang bergantung sepenuhnya kepada keputusan Jemaah Menteri bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, kertas cadangan pembaharuan kontrak telah diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, SIC dalam fasa menunggu kertas kerja tersebut dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan kelulusan rasmi penganjuran perlumbaan motosikal dua roda itu.
“Insya-Allah dalam bulan ini kita akan dengar sama ada positif atau negatif. Saya boleh katakan sekarang ini adalah 50-50. Bergantung kepada keputusan pihak Kabinet. Kalau Kabinet dah beri kata putus, memang kita akan dapat ‘lampu hijau’ untuk sambung.
“Harapan saya untuk kita sambung, tak boleh berhenti. Kalau berhenti akan jadi macam Formula Satu nanti. Kita tidak dapat balik dah MotoGP di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Malam Anugerah Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) kelmarin.
Ketua Pegawai Sukan Dorna Sports, Carlos Ezpeleta yang turut hadir pada majlis tersebut menyuarakan keyakinan tinggi kontrak baharu itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Kami sememangnya menantikan perjanjian selama lima tahun lagi dengan Sepang. Ini adalah negara pertama di rantau ini di mana kami mengadakan perlumbaan MotoGP, jadi bagi kami ia adalah pasaran yang sangat penting.
“Hanya tinggal persoalan untuk memformalkan perjanjian dengan pihak kementerian dan sudah tentu dengan Menteri Sukan yang baharu. Kami berasa sangat selesa dengan perbincangan pembaharuan kontrak ini,” jelas Ezpeleta.
Menyentuh mengenai implikasi kewangan, Shafriman tidak menafikan berlaku peningkatan kos yuran penganjuran yang dikenakan oleh Dorna dalam rundingan baharu itu.
“Peningkatan dia agak besar tapi setimpal dengan apa yang dijanjikan untuk sambung kontrak. Saya anggarkan kenaikan itu antara 10 hingga 15 peratus berbanding perjanjian sedia ada,” jelas Shafriman.
Namun, kenaikan kos tersebut diimbangi dengan nilai tambah baharu di mana Dorna bersetuju menjadikan Sepang sebagai pangkalan rasmi bagi siri pembangunan bakat muda, Asia Talent Cup (ATC).
Ini bermakna Sepang akan menjadi hab latihan untuk tenaga kerja teknikal seperti jurutera, mekanik, dan jurutera data sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan kerana siri ATC belum mempunyai pangkalan tetap di Asia sebelum ini.














