fbpx

‘Saya beban keluarga, tiada pencapaian, dipandang sebelah mata…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pernah bergelut emosi, penyanyi Dafi menterjemahkan episod gelap dalam hidupnya menerusi pementasan teater Projek Tentang Rasa.

Dafi atau nama lengkapnya, Gadaffi Ismail Sabri, 38, berkata pengalaman ketika berada di titik terendah sehingga berat badan turun mendadak didedahkan agar menjadi peringatan kepada diri sendiri untuk lebih menghargai kehidupan.

“Monolog Aku dalam teater ini adalah pengalaman sebenar saya. Ada masa kita rasa kuat tapi sebenarnya kita hanya menafikan apa yang dirasa. Saya sering dianggap hidup selesa, lahir atas dulang emas, hakikatnya setiap insan tidak kira latar belakang tetap bergelut masalah tersendiri.

“Apabila berasakan kehadiran saya membebankan keluarga, bagai tiada pencapaian serta sering rasa hanya dipandang sebelah mata, isi hati yang lama terpendam itu memakan diri.

“Menerusi teater ini saya menzahirkan impak tersebut melalui perlambangan dan bersyukur masih ingat Tuhan apabila tidak sampai ke tahap melakukan perkara di luar kawalan. Keluarga serta insan sekeliling yang ‘supportive buat saya bangkit,” katanya ketika pratonton pementasan Projek Tentang Rasa di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), semalam.

Menurut anak kepada bekas Perdana Menteri kesembilan itu, babak telan pil dalam pementasan berkenaan juga diharap tidak disalah anggap memandangkan ia diselitkan bagi menunjukkan kesan andai tekanan perasaan disimpan tanpa mendapatkan bantuan.

“Titik terendah dalam hidup saya bukanlah sampai terfikir untuk membunuh diri, tetapi saya mula mempersoalkan kewujudan saya di dunia ini.

“Saya rasa seolah-olah tidak menyumbang kepada sesiapa. Dalam keluarga, saya rasa seperti tiada peranan dan dalam industri seni pula, kehadiran saya seperti tiada makna.

“Semua persoalan itu berlegar di fikiran sehingga saya beranggapan jika saya ada atau tiada, dunia tetap sama. Tetapi itu dulu, empat, lima tahun lalu ketika saya selalu membandingkan pencapaian diri dengan adik-beradik.

“Ini kerana ada perasaan kesal selepas diberi peluang lebih awal, masuk Akademi Fantasia, bekerja dan sebagainya tetapi ketika itu saya tidak bersyukur, sebaliknya mengejar perkara yang rasa tak miliki. Itu kesilapan saya,” katanya.

Mengenai Projek Tentang Rasa pula, pementasan itu katanya dibahagikan kepada empat kisah berbeza iaitu Posessif, Paling Comel, Monolog Aku dan Gugurnya Bunga Rindu.

Setiap cerita membawa sudut pandang emosi yang berlainan meliputi elemen cinta, kehilangan, kerinduan, ketakutan serta kejujuran terhadap diri sendiri.

Pementasan bermula 6 Februari sehingga esok turut membariskan  Adriana Adnan, Zaid Erakad, Syazwan Razak, Maryam Tarmizi, Amir Mirza dan Syawal Azrai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN