SHAH ALAM – Pempengaruh, Ramzi Kamil diarah memohon maaf secara terbuka di media sosial selama 30 hari terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar selepas saman fitnah diselesaikan secara baik di luar mahkamah.
Ini melibatkan dua hantaran Facebook defendan pada 23 dan 25 November 2025 yang dikaitkan dengan suntikan vaksin bagi jemaah haji.
Penyelesaian berkenaan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Helmi Hamzah dalam prosiding yang dibuat secara dalam kamar.
Plaintif diwakili Datuk Akberdin Abdul Kader, Muhammad Aslam Akberdin dan Ahmad Redza Akberdin, manakala defendan diwakili Nur Fazrin Ahmad.
Berdasarkan dokumen diperoleh media, defendan (Ramzi) menzahirkan kekesalan dan memohon maaf atas penggunaan ayat berunsur fitnah yang memberi kesan buruk kepada Mohd. Na’im selaku plaintif.
Defendan bersetuju dan berjanji tidak akan mengeluarkan hantaran sama pada masa hadapan.
Mahkamah mengeluarkan injunksi mandatori supaya defendan memadam dua hantaran daripada akaun Facebook dikenali sebagai ‘Rembo Melaka’ dalam tempoh 24 jam.
Defendan, ejen atau pihak berkaitan dihalang daripada menyiarkan, berkongsi atau mengulangi kenyataan sama dalam apa jua bentuk.
Ramzi juga berjanji meletakkan penafian jelas di akaun media sosial miliknya bahawa dia tidak mengizinkan, menyokong dan bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan pihak ketiga yang menerbitkan semula kenyataan didakwa berunsur fitnah, tanpa kebenarannya.
“Teks permohonan maaf tanpa syarat yang disediakan plaintif perlu dimuat naik dalam tempoh 24 jam selepas penghakiman dan dipaparkan selama 30 hari. Defendan turut dikehendaki membayar kos penyelesaian RM5,000,” kata dokumen penghakiman itu.
Sekiranya defendan membuat kutipan dana, jumlah sebenar, sumber penyumbang, penyata akaun, rekod transaksi, resit dan dokumen sokongan perlu didedahkan.
Semua dana hanya boleh digunakan untuk pembayaran penyelesaian dengan lebihan diserahkan kepada Baitul Mal Selangor dan bukti pembayaran perlu dikemukakan kepada plaintif.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mohd. Na’im memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Ramzi menerusi Tetuan Akberdin & Co. menyatakan defendan menggambarkan plaintif seolah-olah memaksa jemaah haji mengambil vaksin dan tindakan tersebut menunjukkan mantan menteri agama itu tidak layak memegang jawatan berkaitan hal ehwal agama.
Dokumen itu turut menyatakan defendan mendakwa tindakan plaintif menyokong pelaksanaan vaksin (yang kononnya mengandungi unsur haram serta boleh menyebabkan penyakit kronik) telah mencemarkan tuntutan agama Islam. – KOSMO! ONLINE














