GEORGE TOWN – Seorang pemuda dilaporkan maut apabila motosikal yang dia tunggang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di Lilitan Sungai Ara, Bayan Lepas di sini, petang tadi.
Mangsa, Muhammad Amirul Faiz Ab Hadi, 31, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) pukul 5.46 petang tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dengan diketuai Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan l Mohd. Zaini Zainuddin.
“Terima panggilan daripada pihak KKM menyatakan berlaku kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 telah terbabas ke dalam longkang dan terdapat seorang mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian dan bertindak menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan mengangkat mangsa ke atas permukaan selamat. Mangsa berjaya dinaikkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya di sini, petang tadi.
Jelasnya lagi, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 6.30 petang tadi. -KOSMO! ONLINE














