KUALA LUMPUR – Seorang pengendali kren warga Bangladesh maut selepas kren jenis spider lift terbalik dan menghempapnya ketika kerja pembaikan papan tanda di Jalan Perak di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.40 malam.
“Siasatan awal mendapati kren jenis spider lift yang dikendalikan menggunakan alat kawalan jauh hilang imbangan selepas dipercayai terlanggar tebing kaki lima ketika mangsa menjalankan kerja di bahu jalan sebelum terbalik secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebuah Proton Persona dan BMW 523i yang berada berhampiran turut dihempap kren, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Susulan itu, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti syarikat pemilik kren dan kontraktor terlibat serta semakan permit kerja daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Rakaman televisyen litar tertutup di lokasi kejadian juga sedang diperoleh bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














