SEPANG- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus mengekalkan larangan dan sekatan bagi melarang mana-mana imam luar negara untuk menjadi imam solat tarawih di masjid dan surau di seluruh Selangor sepanjang Ramadan ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, peraturan itu telah termaktub dan telah dikuatkuasakan sejak 2015 lagi.
Beliau berkata, keputusan dibuat MAIS itu selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang prihatin dengan keupayaan anak-anak tahfiz tempatan terutama di Selangor.
“MAIS dan Sultan Selangor amat prihatin atas perkara ini kerana kita ada ramai anak-anak tahfiz tempatan dan mereka amat mahir dalam hafazan Al-Quran.
“Kenapa kita perlu mengimport imam dari luar negara dan membayar imam luar sedangkan kita mempunyai pelajar tahfiz sendiri
“Kenapa tidak kita guna kesempatan itu dan beri peluang kepada anak-anak tempatan serta mendedahkan mereka untuk menjadi imam pada usia muda lagipun ia dapat bantu kewangan mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Hafazan Al-Quran 30 Juzuk dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengajaran Tahfiz 2025 di sini hari ini.
Katanya, di Selangor ada lebih 2,000 surau dan lebih 400 masjid dan pelajar tahfiz ini boleh diberi peluang serta mampu memakmurkan masjid dan surau dengan lebih berkesan.
Salehuddin berkata, anak-anak tahfiz tempatan juga mempunyai bacaan yang baik dan kenapa tidak mereka juga diberi peluang yang sama.-KOSMO! ONLINE.














