NILAI – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan samun di sekitar daerah ini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, tangkapan dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan pada pukul 5.44 pagi susulan kejadian di Kampung Baru Mantin.
“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kes pecah rumah yang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Tangkapan tersebut turut membawa kepada penyelesaian tiga kes samun bersenjata yang sebelum ini disiasat di sekitar daerah berkenaan.
“Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk wang tunai RM500, barang kemas, sebuah jam tangan berjenama serta mata wang asing. Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 13 Februari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, antara barang rampasan dua bentuk cincin emas, seutas rantai emas, sebuah jam tangan jenama Rolex, dua keping mata wang asing masing-masing dari Amerika Syarikat dan China serta sebuah telefon bimbit selain pakaian dan aksesori dipercayai digunakan suspek semasa melakukan jenayah. – KOSMO! ONLINE














