JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak gentar untuk menentang gergasi Thailand, Buriram United selepas lolos ke pusingan separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) apabila muncul naib juara Kumpulan B.
Pada aksi terakhir peringkat kumpulan kelmarin, misi JDT untuk merampas kedudukan teratas tidak kesampaian selepas seri 1-1 bertemu jaguh Vietnam, Nam Dinh FC di laman tempat lawan.
Keputusan tersebut menyaksikan impian penyokong bola sepak negara untuk melihat derbi tempatan melibatkan JDT menentang Selangor FC di peringkat separuh akhir tidak kesampaian.
Namun, pertembungan antara dua kelab elit negara itu masih lagi boleh menjadi realiti jika kedua-dua pasukan layak ke pentas final kejohanan berprestij ASEAN itu musim ini.
Pengendali JDT, Xisco Munoz lebih gemar untuk memberi fokus satu demi satu perlawanan dengan tumpuan kini terarah aksi menentang Buriram pada April depan.
“Kita bakal menentang Buriram dan ini adalah aksi yang bagus. Bila kita layak ke separuh akhir, sudah tentu kita akan menentang kelab elit (ASEAN).
“Sekarang, kita akan cuba lunaskan impian ke final dan saya cukup positif kerana kita masih kekal bersaing dalam kejohanan-kejohanan besar,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Xisco turut memuji impak penjaga gol import, Andoni Zubiaurre yang membantu pasukan mengakhiri peringkat kumpulan tanpa sebarang kekalahan.
“Kita tahu kualiti yang ada pada Zubiaurre. Dia adalah penjaga gol yang hebat dan memiliki kualiti setara dengan Ahmad Syihan Hazmi yang cukup konsisten pada musim ini.
“Pada aksi kali ini, kita beri peluang buat Zubiaurre beraksi dan dia balas kepercayaan barisan kejurulatihan dengan aksi yang luar biasa,” katanya.














