fbpx
Saifuddin (tengah) melawat tapak Projek Pusat Kemudahan Perniagaan KEDA di Jalan Langgar, Alor Setar hari ini.

Himpunan bersifat sensitif, emotif – Saifuddin Nasution

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi mengingatkan pihak terlibat agar tidak meneruskan perhimpunan di tempat awam sepanjang tempoh lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada hari ini dan esok.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tajuk perhimpunan tersebut bersifat sensitif dan emotif, justeru pihak polis bertanggungjawab dalam memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

“Justeru, saya telah mengeluarkan kenyataan semalam supaya perhimpunan itu tidak diteruskan sebelum Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus turut menyusul dengan kenyataan yang sama.

“Rancangan asalnya melibatkan satu pihak yang mahu mengadakan perhimpunan dan satu lagi pihak bercadang mengadakan perhimpunan balas. Pihak polis telah menemui kedua-dua penganjur dan memaklumkan pertimbangan daripada sudut keselamatan serta adab dan tertib menerima tetamu negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak Projek Pusat Kemudahan Perniagaan KEDA di Jalan Langgar, di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, satu pihak telah bersetuju untuk membatalkan perhimpunan berkenaan, namun satu lagi pihak didakwa masih berhasrat untuk meneruskannya.

“Hendaknya keadaan dalam negara ini biarlah tenang dan terkawal. Kita akan terus memantau dan saya masih mengambil peluang ini untuk meminta agar ia tidak diteruskan,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan penganjur tetap berdegil untuk meneruskan perhimpunan, beliau menegaskan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang serta mencetuskan suasana tidak aman.

Tambahnya, sebagai tuan rumah yang menyambut tetamu negara, suasana sewajarnya berada dalam keadaan aman dan terkawal.

“Kita akan menerima tetamu negara iaitu Perdana Menteri India. India merupakan rakan strategik penting daripada segi perniagaan dan antara pembeli utama minyak sawit negara. Lawatan ini juga melibatkan mesyuarat bilateral antara kedua-dua negara.

“Jadi, ketika negara menyambut seorang tetamu penting, sebaik-baiknya negara berada dalam suasana yang tenang,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis melarang penganjuran Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada pukul 8 malam ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN