AMPANG JAYA – Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes rompakan sebuah peti besi bernilai hampir RM3 juta di Taman Hillview, Hulu Klang, yang dilaporkan berlaku 23 Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, siasatan yang dijalankan termasuk pemeriksaan semua rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sekitar kawasan terbabit.
“Kes masih dalam siasatan (mengenal pasti suspek) dan semua CCTV di sekitar kediaman mangsa telah dibuat pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang usahawan kerugian hampir RM3 juta selepas tiga lelaki memecah masuk rumahnya dan melarikan sebuah peti besi seberat hampir 100 kilogram berisi emas dan wang tunai di Taman Hillview, Hulu Klang.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada 23 Disember tahun lalu ketika mangsa, Johan Al Fateh, 34, bersama isterinya pulang ke kampung di Kelantan.
Johan dilapor berkata, rompakan tersebut hanya disedari tiga hari kemudian apabila seorang pekerjanya datang ke rumah untuk mengecas bateri kenderaan elektrik miliknya.
Sebelum ini, Khairul Anuar dilaporkan berkata, seorang wanita warga asing antara enam individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati kesemua individu yang ditahan tidak terlibat dalam kes pecah rumah ini dan mereka telah dibebaskan. – KOSMO! ONLINE














