BRUNEI DPMM FC sudah memahani taktikal Kuching City FC menjelang perhitungan ‘derbi Borneo’ buat kali keempat musim ini pada aksi suku akhir Piala Malaysia malam ini.
Kedua-dua pasukan sudah bertemu tiga kali musim ini dengan The Cats berjaya melakar dua kemenangan termasuk pesta gol 7-1 pada aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA sebelum menang tipis 1-0 dalam saingan Liga Super.
DPMM pula menang 3-2 ketika aksi pertama pusingan 16 Piala FA di laman sendiri.
Pengendali DPMM, James McAllister mengakui sekarang bukanlah masa untuk membalas dendam kerana menganggap cabaran sukar untuk mereka mencipta sejarah ke separuh akhir Piala Malaysia.
“Saya tidak tahu mengenai balas dendam tetapi saya tahu banyak mengenai pemain mereka kerana sudah bertemu beberapa kali.
“Ini akan jadi satu perlawanan yang sukar kerana mereka juga memiliki kualiti tersendiri. Kita tewas 0-1 pada pertemuan terakhir dalam aksi yang sengit.
“Tetapi kita sepatutnya mendapat lebih banyak daripada perlawanan itu kerana dua gol kita dibatalkan. Ini akan jadi satu perlawanan yang baik,” kata McAllister.
Ini adalah kali pertama DPMM layak ke suku akhir Piala Malaysia dengan penampilan pertama pada musim 2006 menyaksikan pasukan ‘kayangan’ dari Brunei itu terkandas di peringkat kumpulan.














