PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini menunjukkan perkembangan pemulihan yang memberangsangkan selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 6 Januari lalu akibat patah tulang pinggul kanan.
Pejabat Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan berkata, Dr. Mahathir telah dibenarkan “home leave” iaitu pulang dan tidur di kediamannya.
“Di sebelah siang pula, Dr. Mahathir pulang ke IJN untuk meneruskan rawatan dan pemerhatian pihak perubatan.
“Setakat ini, pasukan perubatan di IJN berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan serta tindak balas Dr. Mahathir terhadap langkah-langkah perubatan dan fisioterapi,” katanya di sini hari ini.
Katanya, walaupun dibenar pulang ke rumah secara berperingkat, Dr. Mahathir tetap berada dalam pemantauan pasukan perubatan IJN.
“Pakar perubatan mash menasihat Dr. Mahathir tidak menerima pelawat selain keluarga terdekat buat masa ini.
“Dr. Mahathir, isteri serta keluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa bertanyakan tentang keadaan kesihatan beliau dan yang mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau,” katanya. – KOSMO! ONLINE














