KUALA LUMPUR – Segelintir rakyat tempatan sanggup menyewakan kereta dan motosikal kepada warga asing dengan kadar RM100 hingga RM200 sebulan walaupun menyedari perbuatan itu menyalahi undang-undang.
Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kegiatan itu berleluasa apabila pemilik tempatan dan warga asing ‘bekerjasama’ menggunakan kenderaan tersebut untuk aktiviti termasuk perniagaan secara haram.
Katanya, walaupun disaman, pulangan sewaan yang lumayan menyebabkan ada rakyat tempatan yang sanggup menanggung risiko berdepan tindakan undang-undang.
“Tindakan akan diambil bukan sahaja terhadap pemandu warga asing, malah terhadap pemilik kenderaan tempatan sehingga ke peringkat mahkamah,” katanya pada sidang akhbar Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) di sini, hari ini.
Menurut beliau, kebanyakan warga asing yang ditahan tidak memiliki lesen memandu yang sah selain tiada cukai jalan dan insurans, sekali gus membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Apabila mereka tidak memiliki lesen dan insurans, sekiranya berlaku kemalangan, mangsa tidak akan dilindungi. Pemandu itu sendiri juga tidak mempunyai perlindungan,” katanya.
Beliau berkata, motosikal dan kereta yang disewa kebanyakannya digunakan sebagai kenderaan penghantaran barangan.
Tambahnya, terdapat warga asing dari Asia Barat yang menyewa kenderaan untuk menjalankan perkhidmatan ‘prebet sapu’ dengan membawa penumpang dari negara asal mereka. – KOSMO! ONLINE














