fbpx
Paul

Semakan hukuman ditolak, Paul Yong kekal dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong gagal dalam permohonannya untuk memperoleh kebenaran bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lapan tahun serta sebatan atas kesalahan merogol amah.

Ini selepas panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah sebulat suara menolak permohonan Paul Yong bagi memperoleh kebenaran permohonan semakan tersebut.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequarah. Dengan keputusan itu, Paul Yong kekal penjara.

Ketika membaca penghakiman, panel berpendapat pemohon gagal memenuhi ambang ditetapkan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Kaedah 137 memperuntukkan kuasa semula jadi Mahkamah Persekutuan untuk menyemak keputusannya sendiri, tetapi hanya dalam keadaan luar biasa bagi mengelakkan ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam prosiding hari ini, Paul Yong diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan diwakili Datuk Yusaini Amer Abdul Karim.

Sebelum ini, berdasarkan dokumen, notis usul yang difailkan itu mengikut Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 itu memohon semakan serta perintah untuk mengetepikan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap anak guamnya.

Pada 1 Oktober tahun lalu, Paul Yong kekal menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan dua sebatan kerana merogol pembantu rumahnya, oleh Mahkamah Persekutuan di sini.

Keputusan sebulat suara itu, dibuat panel tiga hakim diketuai yang Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman kerana kesalahan itu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah turut mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 1 Mac tahun lalu.

Hakim Wan Ahmad Farid ketika membaca penghakimannya berkata, mahkamah mendapati sabitan terhadap perayu ialah selamat selain hukuman yang diputuskan Mahkamah Rayuan ialah bersesuaian.

Katanya, terdapat kejadian rogol dan tanpa persetujuan mangsa dan ia dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

Panel berpendapat isu ketiadaan asid deoksiribonukleik (DNA) perayu ditemui pada mop yang digunakan untuk mengemop air mani dalam bilik tersebut, panel berpendapat bukti DNA hanya bersifat menyokong dan tidak akan menjejaskan kes pendakwaan untuk membuktikan unsur-unsur kesalahan rogol di luar keraguan munasabah.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Paul Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun, di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh pada 7 Julai 2019.

Kemudian Pada 1 Mac 2024, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengekalkan sabitan bersalah terhadap Paul Yong. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan tempoh hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan dua sebatan.

Perbicaraan kes itu bermula pada 5 April 2021 dengan 23 saksi termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN