fbpx
Hussein bercakap ketika sidang media berkenaan rampasan dadah di IPK Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

Sindiket dadah guna laluan Kelantan–KL terkubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah berskala besar yang menjadikan laluan Kelantan–Lembah Klang sebagai rantaian bekalan utama ditumpaskan menerusi Op Allograpta melibatkan rampasan berjumlah RM13.25 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu membuktikan kecekapan risikan dan strategi operasi pihaknya dalam membanteras jaringan pengedaran dadah rentas negeri.

“JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket yang cuba menjadikan negara ini sebagai transit atau pasaran dadah. Operasi ini jelas menunjukkan tiada ruang selamat buat penjenayah narkotik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga lelaki tempatan berusia 40 hingga 48 tahun yang menaiki kereta Perodua Myvi ditahan di kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah, Bentong, Pahang pada pukul 10.50 malam, 30 Januari lalu.

Katanya, ketiga-tiga suspek disyaki terlibat dalam aktiviti mengedar dadah yang dibawa dari Kelantan untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Hasil risikan, polis memeriksa sebuah kenderaan Honda HRV yang diletakkan di Jalan Kuchai Lama, Brickfields dan menjumpai 255 bungkusan methamphetamine seberat 265 kilogram.

“Nilai rampasan berjumlah RM13.25 juta dan siasatan awal mendapati sindiket tersebut aktif sejak 2024,” katanya.

Tambahnya, suspek pertama dikenal pasti sebagai ketua sindiket, manakala dua lagi bertindak sebagai ‘transporter’.

Katanya, kumpulan tersebut menyewa kenderaan dan meninggalkannya di lokasi tertentu sebelum diambil ahli lain tanpa bersemuka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Ketiga-tiga suspek didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN