fbpx
Antara e-waste yang dirampas di Pelabuhan Barat hari ini.

AKPS rampas lebih 201 tan e-waste dari Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Port Klang menahan sembilan kontena dari Amerika Syarikat yang membawa sisa elektronik (e-waste) serta bahan buangan terjadual dengan jumlah berat mencecah lebih 201 tan dalam operasi pemeriksaan di Pelabuhan Klang Barat, hari ini.

Pemeriksaan kira-kira pukul 10.45 pagi itu diketuai Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM), Lembaga Pelabuhan Klang serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Menurut Nik Ezanee, hasil pemeriksaan mendapati tujuh daripada keseluruhan kontena tersebut tidak diikrar secara sah untuk masuk ke negara ini.

Katanya, kesemua kontena membawa dagangan yang menjadi larangan mengimport mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar.

“Lima kontena dikenal pasti mengandungi e-waste, manakala empat lagi membawa e-waste bercampur bahan buangan terjadual seperti komponen automotif yang dihancurkan serta besi buruk.

“Keseluruhan rampasan melibatkan berat 201,303 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, barangan yang dirampas merangkumi unit pemprosesan komputer (CPU) terpakai, mesin pencetak serta sisa logam bercampur bahan automotif yang berpotensi mencemarkan alam sekitar.

Jelasnya, kontena-kontena e-waste akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis dari JAS Selangor dan JAS pusat bagi tujuan pengeksportan semula.

“AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang.

“Kami akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI