ALOR SETAR – Dua individu termasuk seorang pendakwah bebas direman sekali lagi hari ini bagi membantu siasatan kes bersubahat menyeleweng dana berjumlah RM1.3 juta.
Perintah reman selama tiga hari ke atas suspek lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu dibenarkan Majistret Nur Amalina Abd. Rahman selepas permohonan dibuat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
Menurut sumber, suspek masing-masing merupakan pengarah urusan dan ketua jabatan kewangan dan perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri ini.
Sebelum ini, mereka direman selama sehari dan dibebaskan pada pukul 5 petang semalam sebelum ditahan semula kira-kira sejam kemudian di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani berhubung siasatan lain.
“Kedua-dua suspek direman kali kedua bagi membantu siasatan kes bersubahat menyeleweng dana RM1.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun persendirian,” katanya hari ini.
Sumber memberitahu, siasatan disyaki turut melibatkan kelulusan pembayaran untuk pembelian rumah bernilai RM500,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong berkata, pihaknya dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram menyiasat kes tersebut sejak Oktober tahun lalu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Kosmo! semalam melaporkan dua suspek terbabit direman sehari bagi membantu siasatan kes bersubahat menyalahgunakan kuasa meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 lapan tahun lalu.
Kelulusan bayaran RM600,000 itu didakwa sebagai bayaran mengumpul dana institusi pusat pendidikan dan dakwah tersebut dipercayai dilakukan tanpa mendapat kelulusan daripada rakan kongsi lain. – KOSMO! ONLINE














