KUALA LUMPUR – Polis kini mengenal pasti kenderaan serta pemilik yang terlibat dalam insiden pemasangan lampu berkelip biru dan siren yang tular di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya akan memanggil kenderaan berkenaan dalam masa terdekat bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Kenderaan tersebut merupakan kenderaan yang digunakan atas tugas rasmi salah sebuah kementerian, manakala penggunaan lampu beacon dan siren telah mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis sedang menyiasat satu video tular di Facebook yang memaparkan sebuah kenderaan persendirian memasang lampu berkelip biru berserta siren ketika melalui laluan sesak, dipercayai berlaku di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), kelmarin. – KOSMO! ONLINE














