ROMPIN – Gara-gara sebuah kenderaan dipercayai terbabas ke laluan bertentangan menyebabkan seorang lelaki maut dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 143 Jalan Kuantan-Segamat di sini malam tadi.
Mangsa yang maut dalam kejadian melibatkan kenderaan jenis Toyota Vios, Proton Wira dan Perodua Alza ialah Abdul Rahman Yusoff, 60, yang memandu kenderaan jenis Perodua Alza.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, berdasarkan siasatan dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, kenderaan jenis Toyota Vios dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan, manakala kenderaan jenis Proton Wira dan Perodua Alza dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta jenis Toyota Vios telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan, kemudian melanggar kedua-dua buah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kejadian itu, pemandu Perodua Alza mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital,” katanya di sini hari ini
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan kemalangan boleh disalurkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
“Pihak polis menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














