SEPANG – Pelumba pasukan Tech3 KTM, Maverick Vinales mengakui jentera 2026 menawarkan karakter pengendalian yang jauh lebih baik sekali gus menyelesaikan beberapa isu kritikal yang membelenggu versi 2025.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu menyifatkan jentera RC16 terbaharu itu menunjukkan peningkatan positif di beberapa sektor litar, namun menegaskan pasukan perlu berhati-hati dalam memilih pakej aerodinamik terbaik sebelum musim bermula.
“Di sesetengah sektor, kami sudah rasakan peningkatan. Namun, kami perlu berhati-hati kerana jentera tahun lalu sudah cukup bagus, jadi kami perlu benar-benar pasti langkah mana yang memberi kelebihan optimum.
“Aspek lain pada motosikal boleh diubah suai sepanjang musim, tetapi asas aerodinamik perlu diputuskan sekarang. Ia adalah keutamaan paling besar berbanding satu pusingan pantas atau perkara lain,” katanya.
Menurut Vinales, jurutera pasukan menuntut keputusan awal dibuat di Sepang memandangkan ujian seterusnya di Buriram, Thailand terlalu hampir dengan perlumbaan pembukaan musim yang bermula 27 hingga 1 Mac nanti.
“Kami tiada pilihan. Di Sepang, kami perlu buat keputusan awal dan keputusan muktamad akan dibuat di Buriram nanti kerana di sana kami kesuntukan masa,” jelasnya.
Tambah pelumba kelahiran Sepanyol itu, jentera 2026 ini memberikan keyakinan yang lebih tinggi untuk memecut laju di selekoh.
“Berbanding tahun 2025, saya dapati motosikal ini lebih mudah untuk ditunggang. Apabila saya semakin serasi dengan jentera ini, saya mampu pergi lebih laju. Jika jentera ini boleh laju di litar yang kompleks seperti Sepang, ia mampu laju di mana-mana litar lain,” tambahnya. – AGENSI














