PETALING JAYA – Malaysia tidak menjual janji kosong kepada pelabur asing berhubung usaha mempercepatkan kelulusan, menyelesaikan halangan di peringkat pelaksanaan dan memastikan pelaburan yang diluluskan benar-benar diterjemahkan kepada operasi.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia juga tidak menjual janji kosong berhubung pekerjaan berkemahiran tinggi dan rantaian bekalan yang kukuh di negara ini.
“Apa yang kami (Malaysia) tawarkan adalah kepastian dasar, kepantasan membuat keputusan dan sokongan pelaksanaan yang konsisten supaya pelabur boleh merancang untuk jangka panjang dengan yakin.
“Pelaburan bukan sekadar angka yang diumumkan, ia mesti dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di muat naik di media sosial hari ini.
Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan, beliau hari ini menerima kunjungan delegasi Amerika Syarikat (AS) yang diketuai oleh Penolong Setiausaha Perdagangan, David L. Fogel.
Menurut beliau, kunjungan delegasi AS ke MIDA untuk berbincang secara terbuka tentang usaha mengukuhkan lagi aliran pelaburan Malaysia-AS.
“Perbincangan seperti ini penting untuk memastikan Malaysia kekal sebagai rakan pelaburan yang dipercayai, berdaya saing dan bersedia untuk melaksana,” katanya. – KOSMO! ONLINE














