KUALA LUMPUR – Lebih 155,000 warga asing menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) setakat ini, dengan lebih 138,000 daripada mereka dihantar pulang ke negara melibatkan kompaun mencecah lebih RM77 juta.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, warga Bangladesh mencatatkan penyertaan tertinggi dalam program tersebut, diikuti Indonesia.
“Kebanyakan warga asing hadir atas kerelaan sendiri. Kita sudah menguar-uarkan mengenai program ini sejak tahun lalu. Mereka mengambil peluang bagi memastikan dapat pulang ke negara masing-masing.
“Program ini masih lagi terbuka sehingga April ini. Warga asing yang berada di negara ini melebihi tempoh sepatutnya atau tidak mempunyai visa dan permit yang sah, sertai program ini sebelum ia ditutup kerana selepas itu, anda akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan JIM di sebuah pusat beli-belah di sini malam tadi.
PRM 2.0 dilaksanakan bermula 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026 khusus bagi Semenanjung Malaysia dan Labuan.
Di bawah program itu, kerajaan menetapkan kompaun RM500 bagi kesalahan masuk dan tinggal tanpa pas/permit sah serta tinggal lebih masa, manakala kompaun RM300 dikenakan bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Selain itu, setiap pemohon turut dikenakan bayaran RM20 bagi pengeluaran Pas Khas.
PRM 2.0 juga tidak terbuka kepada individu yang disenarai hitam, mempunyai waran tangkap/dikehendaki pihak berkuasa, atau mereka yang telah mendaftar PRM sebelum ini, tetapi gagal membuat perjalanan keluar.
Sementara itu, Lokman turut menyifatkan jumlah penyertaan semasa adalah tinggi dan menjangkakan angka itu akan terus meningkat menjelang tarikh akhir, berdasarkan trend program-program terdahulu.
“Dalam tempoh sekarang ini kita rasakan jumlah tu agak ramai. Kita rasa jangkaan kita pada April nanti akan bertambah lah. Sebab kita dapati di saat-saat akhir kebiasaannya pada program-program lepas makin nak habis, makin ramai,” katanya. – KOSMO! ONLINE














