IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam telah melakukan serbuan ke atas premis perniagaan di Ipoh melalui satu operasi membanteras penjualan dan pengedaran barang tiruan melibatkan telefon bimbit berjenama terkenal.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat oleh wakil pemilik cap dagang yang mengadu terdapatnya penjualan telefon bimbit berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 529 unit telefon bimbit yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.
“Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, kesemua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut, manakala nilai rampasan keseluruhan tersebut dianggarkan bernilai RM150,788. – KOSMO! ONLINE














