KUALA LUMPUR – Deretan premis kedai makan yang terkenal dengan masakan asli China di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini, diserbu Jabatan Imigresen (JIM) dalam satu operasi penguatkuasaan, malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, Op Selera dan Op Sapu yang bermula pada pukul 8 malam itu melibatkan seramai 112 pegawai dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurut beliau, pemeriksaan dijalankan ke atas 19 premis, kebanyakannya terdiri daripada kedai makan masakan China yang popular, hasil risikan yang dibuat selama seminggu.
Lokman berkata, serbuan berkenaan turut menyasarkan premis yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah, selain mengesan pelawat yang tinggal lebih masa.
“Antara faktor utama kawasan ini dipilih adalah kerana kebanjiran warga China (PRC) dan hasil risikan sememangnya aktiviti itu berlaku dan malam ini masa yang sesuai untuk operasi.
“Kita dapati ada yang bekerja dan ada juga pelancong yang datang, tetapi tinggal lebih masa. Ada yang bekerja di sini lebih dari setahun,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan di sebuah pusat beli belah di sini hari ini.
Lokman berkata, seramai 890 individu telah diperiksa melibatkan 458 warga asing dan 432 warga tempatan.
“Daripada jumlah itu, 152 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan terdiri daripada 94 warga Myanmar, (40) warga China, enam warga Indonesia, dua warga Bangladesh dan (10) dari lain negara yang kesemuanya berusia 21 hingga 42 tahun,” katanya.
Beliau turut menegaskan tindakan penguatkuasaan dilakukan tanpa mengira kewarganegaraan, menepis dakwaan kononnya ada pihak ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang.
“Kita Imigresen, kita sangat jelas. Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan pasport, kita tahan dan ambil tindakan tanpa mengira warganegara mana sekalipun,” katanya.
Mengulas cabaran operasi, Lokman Effendi berkata, seperti kebiasaan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Masa operasi dimulakan, memang ramai yang cuba melarikan diri. Selain itu, kita dapati ada premis memasang alat pemantauan yang boleh mengesan kehadiran pihak berkuasa daripada jauh,” katanya.- KOSMO! ONLINE














